Kontroversi terus melanda perlumbaan RLIR 2010
 
Langkawi – Kontroversi terus melanda perlumbaan Regatta di Raja Antarabangsa Langkawi selepas pasukan Hi Fi melakukan bantahan kepada pengarah teknikal perlumbaan apabila pasukan Evolution Racing dikatakan tidak memberikan laluan kepada pasukan itu di salah satu selekoh di perairan Kuah.
 
Dan akibat bantahan itu, Hi Fi terus mendahului dengan 7 mata, diikuti Evolution Racing kedua, Jelik dan Zuhal mebgisi tempat ketiga dan keempat.
 
Angin yang bertiup kencang memberi kelebihan kepada bot Hi Fi dari New Zealand yang dikemudi Neil Pryde untuk mengungguli kedua-dua perlumbaan dalam kategori racing.
 
Bot Jelik yang dikemudi Frank Pong dari Hong Kong pula berjaya menamatkan perlumbaan ketiga di tempat kedua diikuti bot Revolution Racing dan wakil Malaysia, bot Zuhal ditempat keempat.
 
Dalam perlumbaan keempat, Evolution Racing yang dikemudi Ray Robert berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tempat kedua diikuti Zuhal dan Jelik di tempat terakhir. Bagi Kategori Premier Cruising, bot Katsu dari Australia meneruskan kecemerlangan dengan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dalam perlumbaan ketiga.
 
Namun, dalam perlumbaan keempat, bot yang dikemudi Ben Copley itu hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga.
 
Bot Mata Hari yang dikemudi Vincent Chan dari Malaysia pula berada di tempat kedua dalam perlumbaan ketiga diikuti bot Koull Baby dari Australia.
 
Dalam perlumbaan keempat, bot Mata Hari berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tempat perama diikuti Koull Baby di tempat kedua.